.

Thursday, 8 December 2011

penceraian

   PERCERAIAN BUKAN HURAIAN...              


Perceraian bukanlah suatu perkara yang mudah, dan ia tidak pernah dipermudahkan dan digalakkan oleh agama Islam. Islam hanya membenarkan perceraian, jika kedua pasangan suami isteri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bantuan dan nasihat yang diperlukan, sehingga tiada lagi ruang bagi mengatasi permasalahan mereka untuk berdamai.
Jika semua usaha-usaha ini telah mereka laksanakan, namun rumahtangga mereka masih tidak dapat diselamatkan, maka Islam membenarkan pasangan tersebut bercerai. Perceraian merupakan perkara yang halal tetapi paling dibenci oleh Allah swt. Firman Allah di surah Al Baqarah ayat 229 yang bermaksud,


"Rujuklah mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang ma'ruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik"


Begitu juga Islam melarang seorang isteri yang minta diceraikan tanpa ada sebab-sebab yang syar'ie, sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud,

"Dari Sauban r.a bahawa Rasulullah saw bersabda : "Mana-mana perempuan yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada apa-apa keuzuran syar'ie, maka haram ke atasnya bau syurga"

Riwayat : Abu Daud
 
Perkara di atas ini berlaku juga terhadap suami yang menceraikan isterinya, tanpa ada sebab-sebab atau alasan yang kuat sehingga isteri terasa dizalimi atau menceraikannya dengan cara penganiayaan. Begitu juga haram bagi suami menceraikan isterinya sewaktu sedang haid atau sewaktu isteri dalam keadaan suci tetapi telah dicampurinya

SITUASI SETELAH BERPISAH

Setelah bercerai, pasangan dan anak-anak akan melalui perubahan  besar. Sebahagian dari permasalahannya adalah:


Rumah
Sekolah
Rakan-rakan
Emosi
     pasangan harus bersifat amanah dan bertanggungjawab setelah bercerai terutama di dalam hal penjagaan anak-anak dan dalam menangani isu kehilangan.
        sokongan yang padu dapat mewujudkan perhubungan yang baik di antara ibu bapa dengan anak-anak setelah bercerai


Kesan-kesan Perceraian

          islam tidak menggalakkan perceraian kerana ia akan mengakibatkan implikasi dan
 permasalahan.

Pengurusan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Industri Malaysia

 ABSTRAK: Kertas kerja ini membincangkan isu-isu semasa berkaitan keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan, sumber manusia, kepakaran tenaga buruh dan program latihan dalam keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa salah satu kesan sampingan daripada kepesatan perkembangan ekonomi negara beberapa tahun kebelakangan ini ialah risiko-risiko yang dihadapi oleh tenaga kerja, khususnya dalam industri pembinaan yang semakin kompleks seperti isu-isu kualiti yang rendah, tahap produktiviti yang rendah, imej, kekurangan tenaga kerja mahir dan tahap kemalangan yang tinggi. Latihan keselamatan mempunyai kepentingan kepada firma dan masyarakat dan berupaya menyelamatkan nyawa, mengelakkan kemalangan, kecederaan dan kesakitan. Ini menunjukkan betapa pentingnya membekalkan secukupnya latihan keselamatan bagi memastikan tanggungjawab majikan telah dilaksanakan iaitu membekalkan latihan kepada semua lapisan pekerja binaan termasuk kakitangan pengurusan.
Kata kunci: Industri Pembinaan, Kemalangan, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, Latihan
1. PENGENALAN
Salah satu langkah untuk membantu negara di dalam usaha membangunkan imej industri pembinaan adalah dengan menyediakan persekitaran kerja yang selamat. Kejadian kemalangan seperti yang sering berlaku di sektor pembinaan telah mengakibatkan kehilangan begitu ramai tenaga kerja dan kerugian harta benda berjuta-juta ringgit pada setiap tahun di negara ini. Sekiranya situasi ini tidak dibendung, sudah tentu sedikit sebanyak ianya akan menjejaskan perkembangan ekonomi negara serta hasrat untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Kejadian kemalangan di dalam industri binaan sering dikaitkan dengan kecuaian dalam pelaksanaan pekerjaan, pengabaian aspek keselamatan, pengabaian program program kesedaran dan latihan, tiadanya displin, kurangnya komunikasi serta lain-lain lagi gangguan luar yang meningkatkan lagi faktor pengaruh terjadinya kes kemalangan yang semakin meningkat hari ini. Dengan mengambil kira situasi ekonomi dalam industri binaan, isu-isu dan masalah-masalah berikut telah dikenal pasti sebagai isu yang dianggap penting dalam industri binaan dan harus dilihat dengan lebih serius untuk mencari penyelesaian; iaitu kualiti yang rendah, tahap produktiviti yang rendah, imej, tahap etika yang rendah, kekurangan tenaga kerja mahir dan tahap kemalangan yang tinggi.
2. OBJEKTIF
Objektif kertas kerja ini adalah bagi membincangkan perkara-perkara berikut:
i. Kemalangan di tapak pembinaan
ii. Sumber manusia dan kepakaran tenaga buruh
ii. Program latihan keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan
3. KEMALANGAN DI TAPAK PEMBINAAN
3.1 Isu Kemalangan Dalam Industri Binaan
Kualiti dan keselamatan merupakan dua isu penting di dalam industri pembinaan masa kini. ISO 9000 telah dengan kadar yang aktif dipromosikan dalam industri pembinaan bagi memastikan kualiti pembinaan yang disiapkan oleh kontraktor. Selain faktor kualiti, keperluan menyediakan persekitaran kerja yang selamat tidak boleh dipinggirkan dalam situasi industri pembinaan yang sememangnya berisiko tinggi. Semakin banyak projek yang kompleks, keselamatan semakin menjadi isu penting bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda terjamin. Banyak negara maju seperti UK dan Australia mewartakan peraturan pengesahan amalan keselamatan dalam praktik pekerjaan kontraktor di tapak pembinaan. Revolusi dan perubahan dalam pengurusan sistem keselamatan telah menjadikan ianya suatu mandat dalam mempraktikkan amalan keselamatan dapat diuruskan secara berkesan (Low, et al., 2000). Industri pembinaan masih mengamalkan proses kerja yang berintensifkan

buruh (labour intensive) berdasarkan tred-tred kerja basah (wet trades). Ini adalah faktor penyumbang utama kepada kualiti kerja yang rendah kerana tenaga kerja yang melaksanakan kerja ini tidak berkemahiran dan terlatih.
Kejadian kemalangan di dalam industri binaan sering dikaitkan dengan kecuaian dalam pelaksanaan pekerjaan, pengabaian aspek keselamatan, pengabaian program program kesedaran dan latihan, tiadanya displin, kurangnya komunikasi serta lain-lain lagi gangguan luar yang meningkatkan lagi faktor pengaruh terjadinya kes kemalangan yang semakin meningkat hari ini (Bold, 1996).
3.2 Amalan Keselamatan Di Tapak Binaan
Pelaksanaan amalan keselamatan di tapak bina perlu dipraktikkan oleh semua pihak yang terlibat dalam industri binaan bertujuan untuk mengelakkan kemalangan dari berlaku di tapak bina. Kerajaan telah menggubal akta bagi memastikan amalan keselamatan menjadi keutamaan di tapak bina, seperti Akta Kilang dan Jentera 1967. Kemudiannya, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah digubal pada 1984 bagi meningkatkan keberkesanan dan mempertingkatkan amalan keselamatan di dalam industri binaan (A. Abdeli, 1994). Dalam pengurusan keselamatan tapak bina, pelbagai kos diperuntukkan bagi menjamin tahap keselamatan yang mencukupi dan bagi menjamin pelaksanaan kerja di tapak bina tidak diganggu akibat kejadian kemalangan (Mac Collum, 1993).
Keselamatan ialah keadaan yang bebas daripada risiko yang berbahaya. Ini adalah berkaitan dengan bahaya yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan risiko terhadap kesihatan dalam jangkamasa tertentu (Davies dan Tomasin, 1996). Dalam industri pembinaan, kebanyakan kes kecederaan berlaku di tempat kerja adalah disebabkan oleh pekerja tidak diberi latihan keselamatan yang mencukupi atau langsung tiada diberi latihan (Grossman, 1996). Sejak isu mengenai keselamatan meningkat dalam industri binaan, banyak kajian berkaitan keselamatan telah dijalankan bagi kerja-kerja bangunan. Sehubungan dengan itu, kajian lebih mendalam perlu dilakukan bagi mengenalpasti kos pengurusan dan perancangan bagi kerja kejuruteraan awam agar dapat dijadikan panduan perancangan projek dan anggaran projek akan diketahui.
3.3 Kemalangan
Kemalangan menurut Laney (1982a) merupakan keadaan atau situasi yang berlaku tanpa kawalan yang mengakibatkan kecederaan dan kerosakan. Dalam industri binaan kemalangan mengakibatkan kecederaan, kematian, kerosakan jentera, bahan binaan dan sebagainya yang berkaitan dengan industri ini. Ridley (1983) menyatakan definisi terawal yang telah dikemukakan oleh Lord Mac Naughton di dalam kes Fenton v. Thorley & Co. Ltd (1903) AC 443 yang berpendapat bahawa suatu perkara yang menghalang atau ditonjolkan ketika tidak diingini ke atas sesuatu pekerjaan normal dan di dalam erti kata harian, ia merupakan kemalangan yang tidak dapat dijangka atau disedari oleh mangsa. Definisi yang didapati daripada 40 penyelidikan yang dibuat oleh Ridley (1983) dari aspek umum, undang-undang, perubatan, saintifik dan literatur keselamatan telah mengemukakan definisi kemalangan yang tepat.
Peyton dan Rubio (1991), menyatakan kebanyakan pakar mendefinisikan kemalangan sebagai kejadian yang tidak dapat diramal menyebabkan kecederaan fizikal kepada manusia dan kerosakan harta benda. Ia juga boleh dikatakan sebagai ‘suatu kejadian yang boleh dan telah menyebabkan penurunan kecekapan firma dan operasi perniagaan’. Maksud risiko dan bahaya merujuk kepada kemalangan yang boleh mengganggu kesihatan dan mewujudkan suasana kerja yang tidak sihat (Davies dan Tomasin, 1990). Brazier (1994) dan Covan (1995) bersetuju bahawa kemalangan merupakan suatu keadaan yang tidak diingini yang menyebabkan kecedaraan atau kerosakan. Jadual 1 menunjukkan jumlah kemalangan industri di Malaysia yang dilaporkan mengikut sektor dan antara 2000-2004
Jadual 1. Jumlah Kemalangan Industri yang dilaporkan Mengikut Sektor
dari tahun 2000-2004 PERUSAHAAN/TAHUN
JUMLAH KEMALANGAN YANG DILAPOR
2000
2001
2002
2003
2004

1. Pertanian, Perhutanan & Perikanan
11,893
12,424
9,456
6,947
5,677
2. Perlombongan & Kuari
626
573
545
536
533
3. Pengilangan
41,331
35,642
33,523
29,780
26,690
4. Elektrik, Gas, Air & Kebersihan
537
442
516
510
496
5. Pembinaan
4,873
4,593
5,015
4,654
4,445
6. Perdagangan
15,452
13,774
13,685
13,395
12,948
7. Pengangkutan
4,778
4,382
4,439
4,104
4,151
8. Institusi Kewangan & Insurans
687
602
567
572
605












9. Perkhidmatan
6,581
5,950
5,924
5,617
5,295
10. Perkhidmatan Awam
8,248
7,487
8,140
7,743
8,325
JUMLAH
95,006
85,869
81,810
73,858
69,132
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa salah satu kesan sampingan daripada kepesatan pembangunan ekonomi negara pada beberapa tahun kebelakangan ini ialah risiko-risiko yang melibatkan tenaga kerja iaitu risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan yang semakin serius dilaporkan. Kemalangan dan penyakit pekerjaan yang tinggi akan menjejaskan pembangunan negara dan kehilangan tenaga kerja. Seperti yang telah diketahui, pekerja adalah aset penting negara dan menjadi tulang belakang proses pembangunan. Pembangunan ekonomi dan sosial tidak akan tercapai tanpa sumbangan daripada para pekerja. Justeru itu, usaha-usaha sentiasa dijalankan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja tidak terjejas (Levitt et al, 1987).
Peruntukan yang sepatutnya dipatuhi oleh majikan sepertimana Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi menyediakan latihan dan memberikan pengetahuan keselamatan nampaknya tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh majikan. Alasan kos latihan yang tinggi menjadi alasan utama majikan enggan melaksanakan keperluan ini (Everett, 1996). Menurut Davies dan Tomasin (1996), majikan dalam industri pembinaan perlu menyediakan pelbagai peringkat latihan tentang keselamatan dan kesihatan kepada setiap pekerja dan pegawai pengurusannya. Oleh yang demikian, majikan atau kontraktor boleh dikatakan merupakan golongan yang utama dalam menentukan keselamatan dan kesihatan kepada pekerjanya.
3.5 Langkah-Langkah Mencegah Kemalangan
Langkah-langkah untuk mencegah dari berlaku kemalangan boleh dilaksanakan oleh kontraktor dengan menyediakan peralatan serta kelengkapan keselamatan yang sesuai dengan keperluan kerja dalam kadar yang mencukupi (Peyton dan Rubio, 1991). Pihak kontraktor terlebih dahulu perlu mengenalpasti risiko-risiko bahaya di tapak bina dan mengenalpasti peralatan yang sesuai untuk mewujudkan sistem kerja yang selamat. Di antara
- peralatan keselamatan yang perlu disediakan oleh kontraktor adalah topi keselamatan, jaket keselamatan dan kasut keselamatan.
4. SUMBER MANUSIA DAN KEPAKARAN TENAGA BURUH
4.1 Kepentingan Sumber Manusia Dalam Industri Pembinaan
Tenaga buruh amat penting di dalam indutri pembinaan tetapi negara terpaksa mengimport tenaga buruh asing daripada negara jiran untuk menampung kekurangan tenaga buruh tempatan yang semakin kritikal. Perkara tersebut, mungkin berpunca daripada pemikiran masyarakat kita sendiri di Malaysia yang memandang rendah dan kotor terhadap buruh binaan ini, walhal bidang kerja tersebut memberi pendapatan yang cukup lumayan berbanding dengan kerja-kerja lain terutamanya kerja sebagai operator di kilang.
Kepesatan pembangunan negara menyebabkan industri pembinaan negara terpaksa bergantung kepada buruh asing. Kebanyakan buruh asing yang diambil bekerja tidak mempunyai kemahiran dan kurang produktiviti (CIDB, 2004). Keadaan ini berlaku akibat daripada tekanan upah yang meningkat untuk menggajikan buruh tempatan. Ini menyebabkan kontraktor lebih senang mengambil buruh asing berbanding buruh tempatan untuk diambil bekerja. Perkara ini menjadi isu utama dalam industri pembinaan sekarang. Keadaan ini bertambah meruncing apabila Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menganggarkan lebih setengah daripada 800,000 gunatenaga dalam sektor pembinaan negara dipenuhi oleh tenaga kerja asing yang tidak berkemahiran. Ini bermakna industri pembinaan negara masih mempunyai banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh belia tempatan bagi mengatasi masalah pergantungan kepada tenaga kerja asing. Langkah ini sekaligus menjimatkan pengaliran wang Malaysia ke luar negara (CIDB, 2004).
Bidang kerja pembinaan tidak lagi wajar diistilahkan sebagai buruh kasar, hina dan kotor, selain faktor 3D (Dirty, Difficult and Dangerous) sebaliknya kini kerja dalam bidang pembinaan ini diiktiraf sabagai kerjaya yang memerlukan kemahiran dan memiliki kemahiran mental, fizikal, kreatif serta ianya telah diakui sebagai tulang belakang pembangunan negara. Kerjaya sebagai pekerja buruh binaan dalam industri pembinaan bukan lagi dianggap sebagai pekerjaan golongan atau kumpulan yang tercicir sebaliknya bidang kemahiran terutamanya dalam industri pembinaan adalah satu pekerjaan yang menjanjikan sumber rezeki yang lumayan (CIDB, 2004; Berita Harian, 1993).
4.2 Isu Buruh Asing terhadap Keselamatan dan Kesihatan Di Tapak Binaan
Kemasukan tenaga kerja asing yang ramai dari negara kurang membangun telah memberikan imej yang kurang baik dari aspek keselamatan kerana mereka kurang memberikan perhatian atau tiada pengetahuan mengenai aspek-aspek keselamatan di tapak binaan. Masalah ini timbul adalah kerana mereka ini tidak menerima latihan secara formal sama ada di negara asal atau di Malaysia. Sikap tersebut juga menjadi salah satu punca yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Insiden-insiden ini telah memberi publisiti yang tidak baik dalam usaha untuk menarik lebih ramai lagi tenaga kerja tempatan terutamanya belia-belia lepasan sekolah (CIDB, 2004).
Kepesatan pembangunan negara menyebabkan industri pembinaan negara terpaksa bergantung kepada buruh asing. Kebanyakan buruh asing yang diambil bekerja tidak mempunyai kemahiran dan kurang produktiviti (CIDB, 2004). Keadaan ini berlaku akibat daripada tekanan upah yang meningkat untuk menggajikan buruh tempatan. Ini menyebabkan kontraktor lebih senang mengambil buruh asing berbanding buruh tempatan untuk diambil bekerja. Perkara ini menjadi isu utama dalam industri pembinaan sekarang. Keadaan ini bertambah meruncing apabila Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menganggarkan lebih setengah daripada 800,000 guna tenaga dalam sektor pembinaan negara dipenuhi oleh tenaga kerja asing yang tidak berkemahiran. Ini bermakna industri pembinaan negara masih mempunyai banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh belia tempatan bagi mengatasi masalah pergantungan kepada tenaga kerja asing. Langkah ini sekaligus menjimatkan pengaliran wang Malaysia ke luar negara.
4.3. Isu Kepakaran Tenaga Buruh Industri Binaan
Sektor pembinaan selalunya dikaitkan dengan fenomena 3-D iaitu 'Dirty, Difficult and Dangerous' (Kotor, Sukar dan Merbahaya). Tenaga kerja tempatan berpendapat, pekerjaan di sektor pembinaan tidak dipandang tinggi di kaca mata belia atau masyarakat. Bebanan kerja yang berat dan terpaksa bekerja di bawah panas terik matahari dikaitkan dengan pekerjaan buruh kasar. Di samping itu, banyak berita di akhbar menyiarkan insiden kemalangan di tapak binaan yang kadang-kala melibatkan kematian telah memburukkan lagi persepsi rakyat tempatan. Perubahan teknologi kepada IBS telah mula mengubah persepsi kepada industri binaan yang lebih cekap dan mampu menghasilkan industri yang lebih selamat dan berupaya menangani masalah semasa industri binaan, selain berupaya bersaing dalam era industri binaan bersaing dalam dunia globalisasi (Shahrul Nizar Shaari, 2003).
Kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh penggunaan IBS dapat mengalihkan sektor pembinaan daripada masalah 3-D atau 3-K iaitu Dirty (Kitanai), Difficult (Kitsui) dan Dangerous (Kiken), yang selama ini merupakan antara punca pekerja tempatan hilang minat untuk memasuki sektor pembinaan. Rekod CIDB mendapati hampir tiga daripada empat pekerja asing yang memohon ujian kepakaran untuk lanjutan permit terdiri daripada mereka yang terlibat dalam tred basah (wet-trades) seperti penyusun batu-bata, tukang kayu (acuan), tukang besi, tukang lepa dan tukang konkrit. Kerjaya dalam sektor ini sepatutnya dianggap kerjaya yang selamat dengan adanya latihan k Industri pembinaan masih mengamalkan proses kerja yang berintensifkan buruh (labour intensive) berdasarkan tred-tred kerja basah (wet trades). Ini adalah faktor penyumbang utama kepada kualiti kerja yang rendah kerana tenaga kerja yang melaksanakan kerja ini tidak berkemahiran dan terlatih. Bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja yang ramai lantas meningkatkan jaminan kualiti ke atas projek-projek pembinaan, industri pembinaan perlu mengubah pelaksanaan kerja menggunakan lebih banyak kerja berorientasikan teknologi sistem binaan berindustri (Industrialised Building System - IBS). Dengan beralih kepada proses kerja yang lebih berintensifkan modal, produktiviti dan kualiti dapat ditingkatkan dengan menggunapakai sesetengah teknologi maju dari negara maju. Penggunaan teknik atau proses kerja yang lebih inovatif dan cekap dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti (CIDB, 2004).
5. PROGRAM LATIHAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN DALAM INDUSTRI PEMBINAAN
5.1 Latihan
Darkenwald dan Merriam (1982) memberikan pengertian latihan sebagai “...aktiviti yang direkabentuk untuk meningkatkan prestasi kerja pekerja semasa bekerja atau apa yang akan dilakukan oleh pekerja”. Manakala Noe (1986) mendefinisikan latihan sebagai satu reka bentuk perancangan pengalaman pembelajaran untuk membawa perubahan yang kekal terhadap pengetahuan, sikap dan kemahiran individu.
Menurut Roberts (1980) latihan ditakrifkan sebagai aktiviti atau segala usaha terancang atau yang diprogramkan bagi kaedah pembelajaran dalam tingkah laku kerja tertentu. Menurut Kamus Dewan (2000), latihan merupakan pelajaran atau pendidikan untuk memahirkan atau membiasakan mengenai ajaran atau pelajaran yang diterima dan mencukupi untuk seseorang menjalankan kerjanya.
Banyak aktiviti dan program keselamatan seperti program kad hijau dan sebagainya yang bertujuan memberikan pendedahan dan latihan mengenai amalan keselamatan. Namun program tersebut hanya sekadar permulaan dan tiada tindakan dan program susulan mengenai latihan keselamatan yang dilakukan secara berkala. Tiada program latihan keselamatan yang berterusan yang dirangka kepada semua golongan personel binaan di tapak bina. Program pembelajaran berterusan dalam latihan keselamatan seharusnya dirangka bagi memberikan input tambahan dan dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan, mengurangkan kemalangan selain memberikan persekitaran kerja industri binaan sebagai sektor pekerjaan yang selamat sebagaimana dalam industri petrokimia.
Menurut International Labour Office, manual keselamatan dikeluarkan bagi memberikan panduan praktik keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tapak bina dan bagi memberikan pengetahuan penyelesaian kepada masalah keselamatan yang berlaku. Ini bagi memberikan gambaran bahawa industri pekerjaan di tapak bina adalah selamat dan praktik keselamatan tersebut berupaya mengelakkan kemalangan kepada nyawa pekerja, kesihatan dan juga sumber tenaga kerja terlatih yang berada di tapak projek. Salah satu tujuan polisi keselamatan dan kesihatan pekerja yang perlu ada dalam organisasi dan pengurusan keselamatan ialah keperluan latihan keselamatan di semua peringkat pekerja binaan. Keperluan latihan sangat diperlukan terutamanya bagi pekerja dalam tred yang dikategorikan berisiko seperti pekerja peranca dan operator kren yang mana sebarang kesilapan oleh mereka akan memberikan kesan kepada pekerja-pekerja yang lainnya di tapak projek (ILO, 1995).
Robert dan Rubio (1991), menyatakan bahawa latihan merupakan antara elemen asas yang menjadikan program keselamatan menjadi lebih efektif dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Juga menambah bahawa latihan keselamatan dan orientasi merupakan elemen penting kepada program keselamatan yang efektif. Penyelia dan pekerja perlu memahami polisi keselamatan firma dan prosidur berkaitan bahaya dalam persekitaran pekerjaan mereka. Pekerja perlu disediakan dengan program latihan orientasi keselamatan apabila pertama kali memasuki tapak bina yang merangkumi polisi firma dan keselamatan projek, peraturan keselamatan, orientasi tapak bina, peralatan pencegahan keselamatan dan keperluan latihan menurut OSHA.
Antara program keselamatan yang boleh dilaksanakan di tapak bina (Levitt dan Raymond, 1987) adalah Latihan Keselamatan Dan Kursus Induksi. Dalam program tersebut, pekerja-pekerja perlu diberi latihan keselamatan yang berkaitan dengan bidangnya untuk memberi pendekatan yang lebih berhubung dengan keselamatan ketika melaksanakan kerja. Kursus induksi juga boleh dilakukan dengan mengawal pekerja-pekerja yang baru supaya mengamalkan kaedah kerja yang betul dan selamat. Kursus atau latihan seperti yang dinyatakan oleh Levitt dan Raymond ini boleh dilaksanakan di tapak bina atau menghadiri kursus seperti yang dianjurkan oleh National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH).
Selain itu, latihan praktikal juga dilaksanakan di tempat kerja untuk melihat tahap keberkesanan pelaksanaan dan kefahaman peserta. Bermula pada tahun 1999, CIDB telah mewajibkan peserta menghadiri latihan pekerja dan mendapat kad hijau sebagai bukti mereka telah berjaya menghadiri latihan tersebut. Oleh itu, kos latihan ini mesti diperuntukan oleh semua kontraktor yang terlibat apabila ia dikuatkuasakan.
Menurut Koehn dan Kothari (1994) dan Amrien (1992), dalam usaha menekankan amalan keselamatan semasa pembinaan, adalah disarankan organisasi mengambilkira beberapa perkara iaitu, mempunyai pengetahuan berkaitan perundangan terlibat, menentukan polisi dan prosidur dan memastikan diikuti oleh semua pihak, melaksanakan latihan keselamatan berjadual kepada pekerja, pengurus dan profesional pereka bentuk, eselamatan dan latihan dalam tred kerja masing-masing (CIDB, 2005). membangunkan polisi bertulis berkaitan program keselamatan dan melaksanakan sistem penalti, dan melaksanakan mesyuarat keselamatan selain menyediakan pasca rekod data keselamatan bahan binaan. Keselamatan tidak akan dicapai melalui penguatkuasaan perundangan semata-mata walaupun ia merupakan tanggungjawab kontraktor. Majikan atau klien perlu terlibat sama kerana keselamatan pekerjaan merupakan usaha kumpulan dan ianya boleh dicapai melalui pelaksanaan latihan dan pendidikan.
5.2 Kepentingan Latihan Keselamatan dalam Industri Binaan
Latihan keselamatan mempunyai kepentingan kepada firma dan masyarakat seperti yang dinyatakan oleh Robert dan Rubio (1991). Latihan keselamatan berupaya menyelamatkan nyawa, mengelakkan kemalangan, kecederaan dan kesakitan. Melalui kebanyakan latihan dan praktis dalam pekerjaan, kita akan berupaya melaksanakan tugasan dengan sempurna berbanding dengan sebelumnya. Menurut Davies dan Tomasin, (1996), adalah menjadi kewajipan majikan membekalkan arahan dan latihan secukupnya bagi kepentingan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin selain bagi mematuhi peruntukan perundangan keselamatan di tempat kerja (Health and Safety at Work Act, 1974). Dan antara persoalan yang akan ditanya selepas berlakunya kejadian kemalangan adalah , “adakah latihan secukupnya telah diberikan kepada semua pekerja?”. Ini menunjukkan betapa pentingnya membekalkan secukupnya latihan keselamatan bagi memastikan tanggungjawab majikan telah dilaksanakan iaitu membekalkan latihan kepada semua lapisan pekerja termasuk kakitangan pengurusan. Tambahan lagi keselamatan sepatutnya merupakan sebahagian daripada semua latihan dalam operasi industri binaan.
Kepentingan latihan keselamatan dan kesihatan dilihat dari aspek membekalkan pekerja semua lapisan ketukangan atau kepakaran profesional kepada kemahiran asas dan kepakaran yang diperlukan untuk melaksanakan pekerjaan atau menambahkan pengkhususan kepakaran. Latihan tidak perlu dilihat sebagai khusus latihan seperti di kolej malah latihan yang khusus di tapak bina yang membekalkan pengetahuan berkaitan risiko pekerjaan di lapangan (King dan Hudson, 1985).
6. KESIMPULAN
Sejak isu mengenai keselamatan meningkat dalam industri pembinaan, banyak kajian berkaitan keselamatan telah dijalankan bagi kerja-kerja bangunan. Kejadian kemalangan seperti yang sering berlaku di sektor pembinaan telah mengakibatkan kehilangan begitu ramai tenaga kerja dan kerugian harta benda berjuta-juta ringgit pada setiap tahun di negara ini. Kejadian kemalangan di dalam industri pembinaan sering dikaitkan dengan kecuaian dalam pelaksanaan pekerjaan, pengabaian aspek keselamatan, pengabaian program program kesedaran dan latihan, tiadanya displin, kurangnya komunikasi serta lain-lain lagi gangguan luar yang meningkatkan lagi faktor pengaruh terjadinya kes kemalangan yang semakin meningkat hari ini.
Bagi menjamin keselamatan industri binaan yang berterusan, majikan dalam industri pembinaan adalah perlu menyediakan pelbagai peringkat latihan tentang keselamatan dan kesihatan kepada setiap pekerja dan pegawai pengurusannya. Oleh yang demikian, majikan atau kontraktor boleh dikatakan merupakan golongan yang utama dalam menentukan keselamatan dan kesihatan kepada pekerjanya. Program latihan keselamatan seharusnya mempunyai program berterusan sebagaimana kredit yang perlu diperolehi oleh pihak profesional dalam program pembelajaran berterusan sebelum diterima untuk pembaharuan pendaftaran profesional. Program pembelajaran berterusan dalam latihan keselamatan seharusnya dirangka bagi memberikan input tambahan dan dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan, mengurangkan kemalangan selain memberikan persekitaran kerja industri binaan sebagai sektor pekerjaan yang selamat sebagaimana dalam industri petrokimia.
-

Tuesday, 29 November 2011

MANUSIA SECARA SEMULA JADI DIPENGARUHI OLEH EMOSI...





Emosi lelaki 
Lelaki dan wanita mempunyai banyak perbezaan yang ketara. Bukan sahaja dari segi perwatakan, cara percakapan malah emosi mereka juga amat berbeza. Ramai yang beranggapan wanita itu lebih sensitif daripada lelaki. Apakah kenyataan ini benar atau sebaliknya?.

1. Hidup Lelaki Lebih Mudah
Lelaki lebih mudah cara hidupnya berbanding wanita. Kerana itu, lelaki sukar untuk memahami jika sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk kiasan oleh wanita. Wanita suka mengkias ibarat dan berharap lelaki faham, tetapi lelaki lebih suka jika ianya dijelaskan dengan bahasa yang mudah dan jelas, secara berterusterang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, tanyalah secara terbuka kepada lelaki.

2. Bahasa Lelaki Adalah Berlainan
Lelaki bercakap dengan bahasa yang berlainan. Ini yang menyebabkan lelaki dan wanita sukar berkomunikasi antara satu sama lain. Jika dia bercakap dengan wanita, adalah berbeza daripada yang dimaksudkannya. Ini bukan bererti dia berbohong. Maka adalah lebih baik bagi wanita untuk memahami lelaki dari apa yang dilakukannya berbanding dari apa yang dikatakannya. Lelaki tidak pandai melahirkan rasa hatinya dalam bentuk kata-kata.

3. Lelaki Suka Membisu
Wanita berkebolehan untuk membincangkan sesuatu subjek yang sensitive dan mendukacitakan sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti, tetapi lelaki masih lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.

4. Lelaki Tidak Kompleks
Jika terdapat semua tanda yang menunjukkan bahawa seseorang lelaki hanya mahu wanita menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan untuknya dan melakukan jimak secara kerap dengannya, wanita harus percaya babawa itulah yang lelaki tersebut mahu. Ini bukan bererti lelaki berfikir secara primitif, tetapi lelaki memang sedemikian. Wanita biasa menganggap lelaki sebagai kompleks, tetapi sebenamya kehendak lelaki adalah mudah.

5. Jangan Paksa Lelaki
Bila wanita mendesak lelaki agar mendedahkan perasaannya, mungkin lelaki itu akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka mendengarnya. Maka adalah lebih baik jangan bertanya dan menyelidik hingga ke akar umbi. Lebih baik bagi wanita membaca bahasa badan lelaki, matanya, atau perubahan mendadak dalam corak perlakuannya. Jika dia pada kebiasaannya suka membaca tetapi tidak melakukannya, mungkin pada ketika itu fikirannya sedang kacau.

6. Lelaki Berahsia Dengan Lelaki Lain
Tidak seperti wanita yang lebih mudah untuk bercakap dengan wanita yang lain mengenai masalah, harapan dan kebimbangan yang amat rahsia dan peribadi, adalah sukar bagi lelaki untuk menjadi mesra secara verbal sedemikian rupa. Untuk melakukannya, lelaki memerlukan kekuatan dan keberanian yang tinggi.

7. Lelaki Pentingkan Kejujuran
Jika lelaki tahu bahawa isterinya suka bercerita pada wanita lain tentang dirinya, besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara mesra mengenai hal-hal rahsia kepada isterinya. Kejujuran adalah penting bagi lelaki. Dia mahukan isterinya menyimpan rahsia-rahsia rumahtangga.

8. Lelaki Tidak Suka Dikritik
Jangan mengkritik lelaki, melainkan jika anda sedia untuk bertikam lidah dengannya. Lelaki tidak begitu terbuka untuk menerima kritikan. Mengkritik di belakangnya, contohnya kepada saudara atau kawannya, mungkin dapat mengelakkan konfrantasi serta-merta tetapi dia akan berasa marah juga apabila perkara tersebut disampaikan kepadanya. Cara yang baik untuk mengkritik lelaki adalah dengan berjenaka dan lembut. Cara lelaki mengkritik adalah berlainan, dan jarang dilakukan oleh lelaki. Bila lelaki mahu mengkritik, masa dan keadaan dipilih dengan teliti. Bila menegur, perbincangan itu ringkas, tidak beremosi, dan tepat. Untuk wanita mengkritik lelaki, elok jika kritikan itu digabungkan dengan sedikit pujian.

9. Lelaki dan Ego
Ramai lelaki menunjukkan egonya dalam dua keadaan, pertama di dalam kerja, dan kedua di atas ranjang. Ini biasanya menyebabkan wanita menjadi bosan. Tetapi sebaik-baiknya wanita patut mempertingkatkan ego suaminya. Wanita yang menyemarakkan api cinta akan menikmati kehangatan api cinta itu. Lelaki mahu wanita memberitahu bahawa sumbangannya diiktiraf dan dinilai. Jika anda tidak menyatakannya kepadanya, siapa lagi. Jika anda menambah ego lelaki, ia akan membuatkan lelaki merasa senang dan setiap orang di sekelilingnya akan mendapat faedah terutamanya yang dicintainya.

10. Sahabat Yang Paling Baik
Jadilah sahabat yang paling baik kepada suami anda, dan dia akan menjadi sahabat yang paling baik kepada anda.

11. Lelaki Mesra Tanpa Beremosi
Antara perkara yang ada pada lelaki dan wanita ialah kehendak mutlak untuk dikasihi, dan mengasihi sebagai balasan. Intimasi emosional, bersatunya jiwa bukan hanya jasad, adalah cara bagaimana kasih sayang itu lahir. Ia bukan satu proses saja, tetapi merupakan penglibatan simia dan magis. Setiap manusia bergantung kepada intimasi emosional untuk seimbang dan gembira, paling kurangnya ia diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Lelaki berbeza dari wanita adalah pada kebolehan lelaki untuk mesra dari segi seks tanpa kemesraan emosi. Jalinan atau hubungan antara dua perkara ini iaitu kemesraan seks (cinta berahi) dan kemesraan emosi (cinta kasih) tidak penting pada ramai lelaki. Ramai lelaki memberi keutamaan yang rendah kepada kemesraan emosi. Lelaki lambat mencapai kemesraan emosi berbanding wanita.

Lelaki lebih cepat mencapai kemesraan seksual. Kemesraan emosi wujud apabila terdapat hubungan yang rapat dan jujur antara suami isteri. Ia mungkin dianggap penting sebagai hubungan seks yang lebih memuaskan, tapi jika tanpa kemesraan emosi, seks boleh dilakukan juga oleh lelaki. Melakukan seks tanpa kemesraan emosi boleh menyebabkan punca konflik semula jadi antara lelaki dan wanita. Apabila keperluan kemesraan emosi wanita tidak dipenuhi sama ada sebelum atau selepas seksual, kekecewaan akan melanda wanita.

12. Lelaki Suka Menyelerak
Lelaki bersifat suka menyelerakkan barang-barang dan berharap isterinya akan mengemas. Kadangkala lelaki mahukan isterinya bersifat seperti ibunya. Walaupun kebanyakan ketika lelaki adalah pembuat yang memulai atau meneruskan sesuatu, ada kalanya mahu dijaga oleh seorang ‘ibu’. Dia menunjukkan kemahuannya itu secara tidak langsung dengan menyelerak.

Emosi Wanita


Perasaan wanita yang halus:
Seiring dengan wanita dimuliakan dari segi kedudukan,wanita juga dimuliakan dengan perasaan-perasaan yang halus.Perasaan wanita yang halus inilah yang melayakkan mereka dipilih sebagai ibu yang mengandungkan dan melahirkan.Perasaan yang halus inilah yang mampu menjadikan wanita tulang belakang kepada suami,mengambil tugas mengurus rumah tangga dan anak-anak.Namun perasaan halus ini jugalah yang menghalang wanita menjadi khalifah atau pemerintah sesebuah organisasi hatta organisasi kecil seperti keluarga.

Emosi wanita mudah terganggu,mudah juga untuk dileraikan.Semua kerana hormon wanita yang unik.Wanita mudah bercakap dan bertindak dengan gaya emosi berbanding rasional.Namun ia bukanlah semata kelemahan kerana hati-hati manusia juga dididik dengan emosi yang benar.

Emosi dan perasaan bukanlah sesuatu yang datang tanpa dipaksa.Tapi ianya adalah dibentuk dan dididik. Boleh dikawal dan dicambahkan. Hanya memerlukan langkah terbaik untuk mengawal dan mencambahkannya. Allah dah beri cara dan mendatangkan contoh,hanya terserah pada kita untuk mengikut atau menafikan.


Hormon wanita dipengaruhi oleh hormon:
JANGAN mudah melenting atau cepat melatah andai wanita yang anda kenali sebagai seorang yang sabar atau periang boleh berubah emosinya secara tiba-tiba. Perubahan ini mungkin menyebabkan mereka menjadi seorang yang begitu sensitif, mudah marah, cepat tersinggung atau sebagainya.Tidak kira siapa pun wanita terbabit sama ada ibu, kakak, adik, isteri, teman wanita, bahkan yang bergelar nenek sekalipun boleh mengalami perubahan emosi seumpama ini.Hakikatnya ialah bukan mudah menjadi seorang wanita. Namun, inilah yang harus dilalui oleh wanita dalam meniti setiap fasa kehidupan mereka.

Bermula dari peringkat bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah mencecah ke usia emas, terlalu banyak perubahan fisiologi dan biologi yang harus dilalui oleh seseorang wanita.Andai kurang persediaan dan pengetahuan mengenai setiap fasa perubahan ini, banyak masalah boleh timbul.Masalah bukan saja dihadapi oleh wanita terbabit, malah kepada orang yang rapat dengan mereka.

Pakar perunding obstetrik dan ginekologi di sebuah hospital swasta di Kuantan, Dr. Suraya Arshad berkata, perubahan ini biasanya tidak
disedari oleh ramai wanita.Sebaliknya, ia lebih banyak dikesan oleh mereka yang hampir dengan wanita terutama pasangan mereka.
Menurut beliau, salah satu aspek yang mungkin tidak difahami oleh sebahagian besar wanita, mahupun mereka yang berada di sekelilingnya, ialah emosi seseorang wanita.

``Ini kerana emosi dan perasaan seseorang wanita banyak dipengaruhi
oleh hormon yang terdapat dalam tubuhnya.

``Bagaimanapun, para penyelidik masih dalam kajian mencari punca
mengapa wanita begitu mudah terdedah pada perubahan emosi,'' katanya.

Beliau tidak menafikan kurangnya pemahaman berhubung perubahan emosi wanita boleh menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada penceraian.Dr. Suraya memberitahu, emosi wanita banyak dipengaruhi oleh hormon-hormon tubuh mereka.Dua hormon utama yang terdapat dalam tubuh wanita ialah hormon estrogen dan progesteron.

``Kedua-dua hormon ini mempunyai kuasa dan pengaruh yang cukup besar
dalam setiap fasa kehidupan seseorang wanita.

``Sekiranya berlaku ketidakseimbangan pada hormon-hormon ini, maka ia
boleh menyebabkan perubahan terutama kepada mood wanita terbabit,''
katanya.

Hormon ini dihasilkan oleh kelenjar ovari. Penghasilannya dipengaruhi oleh sebahagian hormon yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari dalam otak.Peranan kedua-dua hormon ini bukan sekadar hanya mengatur pusingan haid seperti perubahan pada dinding rahim dan pengeluaran darah haid.Pada masa yang sama hormon-hormon ini mempunyai kesan pada tisu-tisu tubuh. Ini termasuklah buah dada, tulang, pembuluh darah, jantung, saluran usus, pundi kencing dan kulit.Dr. Suraya menjelaskan, ketidakseimbangan hormon-hormon estrogen dan progesteron boleh menyebabkan perubahan kepada wanita terbabit.

``Ini termasuklah perubahan tingkah laku atau emosi yang menyebabkan
mereka menjadi seorang yang mudah sensitif, tertekan, mudah marah atau
mengalami kemurungan,'' ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, bukan semua wanita mesti melalui perubahan emosi.Pusingan haid, kehamilan, keadaan selepas bersalin, ketidaksuburan dan menopaus boleh mengakibatkan perubahan mood yang menyebabkan seseorang wanita seolah-olah mengalami kemurungan.Malah, para penyelidik turut mengesahkan bahawa hormon boleh mempengaruhi pengeluaran endorfin yang berfungsi mengawal emosi dan mood.

Tambah beliau, tiga fasa kehidupan yang menyebabkan wanita boleh
mengalami perubahan ketara ialah:

- Fasa sebelum pusingan haid

- Fasa selepas melahirkan anak

- Fasa selepas menopaus (putus haid)


A. Fasa sebelum pusingan haid (Pre-menstrual syndrome - PMS)

Di seluruh dunia, berjuta-juta wanita menganggap apa yang berlaku setiap bulan umpama satu pusingan jam biologi.Keletihan, mudah tersinggung, perut kembung, masalah jerawat dan sebagainya sering kali dikaitkan dengan pusingan haid.Sehingga hari ini belum ada satu teori yang berjaya membuktikan mengapa wanita mengalami perubahan mood atau emosi setiap kali mereka hampir dengan fasa pusingan haid mereka.Bagaimanapun, ia dikaitkan dengan perubahan hormon yang menimbulkan tindak balas abnormal.Gejala PMS biasanya terjadi seminggu sebelum seseorang wanita mengalami pusingan haid.Ia akan hilang beberapa hari selepas haid berlaku. Gejala-gejala ini hanya sementara waktu dan tidak begitu mengganggu rutin harian seseorang wanita.Ia merangkumi gangguan pada psikologi, perut, kulit, kandungan cecair pada badan dan lain-lain.Ini termasuklah perubahan dari segi selera makan, kemaruk makan,
jerawat, mood terganggu, gangguan tidur dan emosi terlalu sensitif.


B. Fasa selepas melahirkan anak

Fasa ini yang juga dikenali dalam istilah perubatan sebagai post partum depression (PPD) merupakan satu keadaan di mana wanita mengalami kemurungan selepas melahirkan anak.Penurunan hormon estrogen yang mendadak selepas bersalin dikatakan faktor yang menyumbang kepada masalah seumpama ini.Ketidakseimbangan hormon boleh berlaku kepada semua wanita, namun mereka yang tidak menanganinya dengan baik boleh mendapat psikosis.

PPD boleh terbahagi kepada tiga kategori:

- PPD baby blues. Seseorang wanita boleh termasuk dalam kategori ini
sekiranya mereka mengalami perubahan emosi atau mood dalam tempoh dua minggu selepas melahirkan anak.Bagaimanapun, bukan semua wanita yang melahirkan anak melalui fasa seperti ini. Wanita di Barat dikatakan lebih ramai mengalami fasa ini berbanding wanita Asia dengan anggaran sebanyak 80 peratus.

Biasanya wanita terbabit akan mengalami gejala seperti:

a. kesedihan

b. menangis lebih daripada biasa

c. lebih sensitif

d. mudah tersinggung

e. rasa berdebar-debar


Wanita yang mempunyai masalah dalam rumah tangga dan mengalami banyak komplikasi semasa hamil lebih terdedah kepada risiko ini.Risiko ini meningkat sekiranya mereka pernah mempunyai sejarah PPD. Gejala yang dialami ini biasanya akan hilang selepas sepuluh hari.

- PPD kemurungan. Wanita yang dikategorikan dalam kumpulan ini
mengalami gejala-gejala seperti:

a. Perasaan putus asa

b. Tidak boleh memberi tumpuan

c. Gangguan ingatan

d. Perasaan bersalah

e. Rutin harian seperti makan terganggu

Masalah ini kebiasaan dialami dalam tempoh sebulan selepas bersalin dan terus berlaku dalam tempoh beberapa bulan.Mereka yang menghadapi masalah ini perlu diberi bantuan. Mereka memerlukan rawatan kaunseling, terapi psikiatri dan sokongan emosi ahli
keluarga.

- PPD psikosis. Di kalangan masyarakat Melayu, PPD psikosis dikenali
sebagai penyakit gila meroyan.

Individu terbabit mengalami gejala seperti pesakit mental.

Antara gejala-gejala yang dialami ialah:

a. Mendengar suara-suara halus

b. Tingkah laku yang pelik seperti gelak atau

bercakap seorang diri

c. Kekeliruan yang ketara

d. Sentiasa dalam keadaan ketakutan

e. Memiliki tenaga fizikal yang begitu kuat

f. Mengalami kesukaran untuk tidur

g. Keinginan untuk membunuh diri

Seperti juga PPD kemurungan, individu yang mengalami penyakit gila meroyan perlu menerima bantuan dan rawatan.


C. Fasa menopaus (putus haid)

Menopaus merupakan satu perubahan biologi yang normal apabila ovari wanita tidak lagi menghasilkan dua hormon wanita, estrogen dan progesteron.Perlu difahami bahawa menopaus bukan sejenis penyakit. Ia adalah satu titik perubahan yang harus diterima secara positif oleh seseorang wanita, baik dari segi emosi mahupun fizikal.Bagaimanapun, menopaus boleh menjadi salah satu punca utama kemurungan.Menopaus boleh berlaku apabila seseorang wanita mencapai usia dalam lingkungan umur pertengahan 40-an hingga lewat 50-an.Menopaus menyebabkan wanita mengalami perubahan hormon. Penghasilan hormon estrogen mula berkurangan dalam tempoh beberapa tahun sebelum menopaus.

Perubahan pada penghasilan hormon ini boleh menyebabkan seseorang wanita mengalami perubahan emosi seperti:

- kemurungan (bergantung kepada tahap keterukan)

- cepat marah

- mudah tersinggung

- sukar tidur

- rasa panas

- pelupa

- Sesetengahnya mengadu sentiasa rasa sedih atau sakit-sakit badan

- fikiran bercelaru

Bagi menangani masalah ini, wanita boleh mendapat rawatan terapi gantian hormon (HRT).

Menopaus mungkin dianggap oleh sebahagian besar wanita sebagai fasa yang terpaksa dihadapi apabila mereka melangkah usia tua, tetapi ia juga mempunyai banyak kebaikan.Mereka kini bebas daripada belenggu pusingan haid pada setiap bulan. Wanita harus menerima menopaus sebagai satu titik permulaan kehidupan baru dalam hidup mereka.